KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras terendah dalam tujuh tahun berbanding pound Britain apabila ia jatuh kepada 6.0430 sehingga pukul 7 pagi tadi.

Ringgit sebelum ini mencecah paras RM6 hingga 1 pound pada Selasa, jatuh kepada 6.0164.

Kali terakhir ringgit merosot kepada RM6 berbanding pound adalah pada 15 Februari 2016, di mana kadar pertukaran berada pada 6.0481.

Bagaimanapun, ringgit tidak bersendirian kerana pound dan dolar Amerika Syarikat (AS) telah mengukuh berbanding mata wang serantau lain tahun ini.

Pound telah menjadi salah satu mata wang berprestasi tinggi setakat tahun ini.

Ia berasaskan jangkaan bahawa Bank of England akan menaikkan lagi kadar faedah apabila gaji meningkat lebih cepat daripada yang dijangkakan pada bulan Mei, manakala inflasi kekal tinggi iaitu pada 8.7 peratus pada Mei, tertinggi dalam negara G7.

Pertumbuhan gaji meningkat 7.3 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Mei berbanding tahun sebelumnya, didorong kenaikan kukuh dalam pertumbuhan gaji sektor swasta.

Walaupun pertumbuhan gaji berkembang dengan cepat, kadar pengangguran meningkat kepada 4.0 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Mei, daripada 3.8 peratus sebelumnya.

Berbanding dolar AS, pound meningkat 9.0 peratus dalam tempoh satu tahun.

Sementara itu, mata wang serantau seperti rupiah Indonesia menyaksikan pound meningkat kira-kira 9.74 peratus dalam tempoh yang sama.

Dolar Singapura jatuh 4.81 peratus dan baht Thai 3.66 peratus, berbanding pound, dalam tempoh satu tahun.

Bagaimanapun, pound meningkat paling tinggi berbanding ringgit, iaitu 14.8 peratus dalam tempoh setahun, manakala pada asas tahun setakat ini, ia meningkat 13 peratus berbanding mata wang tempatan.